18 Jun 2008

Menilai Seruan Kesatuan Ummah - Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz



BERSATU adalah antara petanda dan malamih umat Islam. Umat Islam menyembah Allah Tuhan yang satu. Maka mereka menjadi satu kerana arah tuju adalah satu. Dengan ini bersatu menjadi mudah untuk umat Islam. Kerana itu bersatu adalah cam dan petanda awal yang jelas bagi kewujudan umat Islam.
Hari ini tiada siapa yang mengatakan umat Islam hidup bersatu. Kita dan bukan kita bagai bersatu untuk mengatakan kita ini umat yang berpecah ? pecah dan berbelah - belah. Maka umat Islam hilang petanda kewujudannya yang mesti. Bila kita berpecah belah, Allah mencabut cam dan petanda yang dengannya kita dikenali.
Pada cam dan petanda itulah kita berjalan di muka bumi ini sebagai umat keredhaan, pilihan, kesederhanaan, kebaikan, kepimpinan, kekuatan dan kejayaan. Dengan cam dan petanda inilah kita diiktiraf sebagai umat yang tersedia dan tercipta untuk memimpin manusia hidup di bumi ini dengan aman dan sejahtera.
Bila umat Islam bersatu, dunia ini menjadi satu dan jitu. Sebabnya, tumpuan umat Islam sebagai pemimpin dunia adalah mencari kedudukan dan kepentingan diri di sisi Allah, bukan berebut ? rebut dan berbalahan demi menggapai kepentingan sesama sendiri.
Merebut ridha Allah adalah bagai merebut bebintang di langit. Bodohlah berbalahan berebut - rebut bintang ? bintang yang tak terbilang itu. Tidakkah ridha Allah itu tak terbilang banyaknya. Bila umat Islam bersatu menggapai ridha Allah, umat bukan Islam turut mengecapi keamanan hidup di dunia sebentar ini.
Kerana berpecah, kita hilang petanda itu. Maka dunia ini diisi oleh hidupan yang tiada pengiktirafan Allah untuk memimpin menuju keredhaan, kebaikan dan kejayaan.
Tampuk kepimpinan dan serambi kuasa yang dikosongi itu diisi dan dibanjiri pula oleh umat manusia yang bukan keredhaan Allah menjadi matlamat hidup mereka. Allah diganti thaghut. Thaghut ialah selain Allah yang dipuja. Selain Allah adalah nafsu, akal, penguasa, jin syaitan, berhala dan apa ? apa saja selain Allah yang dipuja.
Di sini matlamat menjadi rencam dan pelbagai. Manusia berebut mencapai matlamat yang terhad, rapuh dan palsu. Kegilaan ini mencetus perbalahan dan perpecahan di muka bumi.
Umat Islam hidup berpecah belah kerana mereka berpaling daripada Allah, lalu Allah berpaling daripada mereka. Umat bukan Islam pula hidup berbalahan kerana mereka meraba ? raba dalam kesesatan dan kegelapan.
Dalam kegelapan ini, yang tersondol dan teruk dibelasah adalah umat Islam. Umat Islam hidup di awangan kebingungan. Tiada Allah yang menunjuki dan tiada thaghut yang mengasihani. Darah yang mengalir, jeritan yang membengit, air mata yang membasahi dan ratapan tanpa harapan adalah dari lembah yang digenangi lekitan jutaan kata nista ke atas umat Islam.
Kalaulah tidak kerana cahaya Allah itu tak padam di dunia ini, pasti tiada lagi harapan yang diimpi dan tiada lagi azam yang didamba untuk melihat kembalinya umat Islam yang bersatu dan berjaya. Dalam kesenakan dan keperitan menempuh onak dan duri perpecahan ini, tersembul satu daya yang gagah dan kuat mengajak umat Islam untuk kembali memakai petanda kesatuan yang menjanjikan seribu kelebihan itu.
Kesedaran untuk bersatu adalah pengucapan awam umat Islam hari ini. Semua umat Islam bersatu mengakui kehinaan mereka adalah kerana perpecahan yang terlarang di kalangan mereka. Rasa hina dina dihina itu bertukar menjadi penawar untuk umat Islam kembali mencari jati diri yang hilang.
Jika di awal tragedi dulu, para pejuang Islamlah yang merasai keperitan dihina oleh semua pihak yang memusuhi Islam, manakala golongan munafikin atau tali barut yang mendalangi kejatuhan umat Islam pula diberi ruang selesa untuk mengecapi secangkir manisan umpanan musuh, tetapi pada hari ini kehinaan itu mula menimpa umat Islam seluruhnya tanpa mengira apa peranan dan kedudukan mereka.
Rakyat marhain dihimpit kemiskinan dek kongkongan sistem ekonomi riba musuh yang dipaksakan. Mereka dibiarkan termanggu tanpa jati diri dihanyutkan dalam sistem sosial bebas tajaan barat. Mereka bagai diternak dalam kandang sistem pendidikan yang telah diracuni musuh untuk terus menjadi hamba yang menghiburkan si tuannya.
Para pemimpin Negara ? Negara Islam pula dijerat dengan aturan ? aturan dan tekanan ? tekanan yang memaksa mereka berputih mata melihat pencabulan demi pencabulan ke atas Negara dan rakyat sendiri. Paling dahsyat mereka sendiri mencari perlindungan daripada musuh yang sememangnya bersiap sedia untuk membunuh mereka tanpa menyedarinya.
Kerana itu ajakan ke arah kesatuan umat Islam berlambakan di pasaran peraih sokongan menuju kekuasaan. Ia menjadi seperti umpan cacing yang menggilai lahap si ikan di lombong kebuluran.
Malangnya ia masih menjadi ajakan dan seruan yang mengelirukan. Seruan murni perpaduan mencetus kemelut perpecahan baru yang menambah parah. Semua penyeru menggunakan kalimah keramat bersatu sebagai umpan meraih simpati dan keyakinan masyarakat Islam yang ternanti ? nanti harapan menjadi kenyataan. Apa yang berlaku adalah seruan kea rah kelompok masing - masing, bukan kepada Islam sebagai mana yang dilaungkan.
Hasilnya masyarakat Islam dicengkam kekeliruan manakala kepalsuan berleluasa dan dibiarkan.
Apakah erti bersatu? Bagaimana bersatu? Siapakah penyeru kesatuan yang benar? Mengapa seruan kesatuan dipalsukan? Siapakah pemimpin kesatuan yang sebenar? Kita melihat persoalan - persoalan ini bagai menanti jawaban yang mesti dibedah dan didedahkan demi mengembalikan harapan umat Islam untuk bersatu ke arah kemenangan.
Maka, adalah perlu umat Islam didedahkan dengan beberapa perkara pokok yang akan menyediakan jawaban yang benar kepada persoalan ? persoalan yang dibangkitkan tadi.
Pertama, umat perlu disedarkan dengan kehadiran secara berterusan golongan yang mendakwa muslim tetapi merekalah musuh yang memerangi Islam dan umatnya. Kewujudan golongan ini disebut secara berterusan oleh Allah di dalam kitabNya bersekali dengan wujudnya golongan muslimin sejati dan golongan kuffar.
Kedua, bersatu yang dimaksudkan adalah dengan tali Allah, iaitu Islam atau Al Quran dan sunnah nabawiyyah.Adalah satu jenayah besar umat Islam mengajak atau menerima perpaduan di atas selain tali Allah.
Ketiga, mereka yang layak memimpin ke arah perpaduan ummah adalah para ulama yang memahami agama Islam dan berjuang untuknya. Para ulama adalah jaminan Allah ke atas kekuatan Islam sepanjang zaman. Kegagalan memahami dan menerima hakikat ini akan mengheret kepada kekeliruan dan perbalahan berterusan yang merugikan.
Keempat, Umat Islam hari ini adalah umat yang telah meninggalkan ajaran Al quran dan As sunnah. Kontangnya ilmu agama menyebabkan mereka mudah ditipu dan dibuaikan dengan janji manis mereka yang berkepentingan. Kewajiban menyedari ini dengan susulan perawatan ke atas penyakit ini akan membantu menghindarkan umat Islam dari ditipu dan dilalaikan.
Kelima, perpaduan umat adalah kerja besar dan perjuangan yang memerlukan pengorbanan, komitmen dan keikhlasan yang benar dan lama. Kesabaran dan kesetiaan adalah senjata yang utama.
Keenam, umat Islam mestikan menjadikan sirah nabawiyyah sebagai panduan utama dan sejarah jatuh bangun umat Islam sebagai kayu ukur yang akan memudahkan lagi usaha menuju perpaduan.
Ketujuh, musuh Islam akan terus berusaha mematikan kerdipan cahaya perpaduan yang diusahakan dengan pelbagai cara termasuk mempergunakan golongan Islam sendiri untuk memecah belahkan kesatuan ummah.
Kesedaran terhadap perkara - perkara pokok di atas akan mewujudkan tarsyid ummah dan pengarahan yang membantu mempercepatkan proses pematangan ke arah perpaduan ummah yang dinantikan. Bumi Palestin hari ini adalah gambaran jelas kemelut yang terhasil daripada
kegagalan memahami dan menerima perkara ? perkara di atas. Umat Islam Palestin diasak hebat oleh musuh Yahudi dengan terus memberi nafas kepada gerakan Fatah yang berjuang ke arah perpaduan nasionalisme yang bercanggah dengan erti perpaduan Islam. Gandingan musuh Islam ini akan terus menggagalkan atau melambatkan kemenangan gerakan Islam Hamas yang memenuhi tuntutan perjuangan ke arah perpaduan Islam yang dinantikan. Selagi mana umat Islam Palestin tidak mahu mengubah diri sendiri dengan menerima ajakan Islam selagi itulah bumi Palestin akan terus dijajah.Di hadapan mereka ada Al Quran dan As sunnah dalam bahasa ibunda mereka sendiri.
Para ulama mereka telah turut berjuang dan membuktikan kesabaran dan kesetiaan pada perjuangan sebagai teladan yang mengkagumkan di sebalik kegagalan golongan nasionalis Arab yang penuh skandal yang mencemarkan nama perjuangan. Bahkan bumi Palestin adalah salinan asal sejarah Islam sejak berkurun lalu yang telah memetakan syarat ? syarat kemenangan yang jelas kepada umatnya.
Mengapa harus begini lama menanti? Perhatikan, umat Islam gagal mengenal antara kawan dan lawan sesama sendiri. Demikianlah. Kalimah perpaduan dan kesatuan ummah menjadi sebutan yang diminati oleh seluruh golongan Islam yang bersengketaan sedangkan ia adalah petanda khusus untuk ummah yang sedia kembali kepada Allah dengan sebenarnya. Berpecah belah adalah azab Allah yang berterusan ke atas umat Islam selama mana mereka kekal dalam wajah kehidupan hari ini yang jauh daripada ugama.
Kita hanya akan terus melihat wajah ? wajah kepimpinan dunia Islam yang penuh hipokrit yang menghinakan. Tiada kemenangan untuk ummah yang hanya menanti kemenangan. Kemenangan hanya siap siaga menanti ummah yang bergerak ke arahnya.